Friday 13 July 2012

PROJEK JAHITAN



DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah memberikan peluang untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini.  Peluang yang diberikan perlu dimanafaatkan sebaik mungkin sepanjang perjalanan menuju alam abadi. Apa sahaja ilmu perlu dipelajari baik ilmu dunia mahupun ilmu akhirat. Yang penting ilmu itu bermanafaat untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Setelah sekian lama ummi melalui kehidupan, dikurniakan suami dan enam orang cahaya mata, akhirnya baru dibukakan hati untuk belajar menjahit dan mencuba menjahit pakaian untuk anak-anak. Kita juga perlu belajar ilmu dan kemahiran terutama bagi wanita seperti menjahit dan memasak.

Jika dulu-dulu, semasa anak-anak masih kecil semua pakaian ditempah dengan kakak atau dibeli di kedai pakaian dengan alasan ummi tidak pandai menjahit. Kini, kakak ummi pulak telah beralih arah daripada menjahit pakaian kepada menjahit langsir dan cadar. Alasannya kerana bidang itu memberikan hasil lumayan daripada menjahit pakaian. Menjahit pakaian terutama baju melayu dan baju kurung bermusim. Sekarang ini bila anak-anak sudah dewasa, citarasa mereka tidak sama dengan apa yang dijual dipasaraya atau kedai pakaian. Bukan ummi tidak pernah menjahit tetapi ummi tidak berani mencuba menjahit pakaian. Apa yang ummi jahit cuma tudung, kain kembang dan membaiki pakaian yang telah siap dijahit. Ummi pulak tidak pernah mengikuti kelas menjahit baik di sekolah mahu pun di luar sekolah sehinggalah saat ini. Bagaimanapun, berkat dorongan dan motivasi dari suami dan anak-anak yg bersungguh-sungguh ingin memakai pakaian yang dijahit ibunya sendiri, akhirnya ummi memberanikan diri untuk menjahit pakaian.

 Langkah pertama yang ummi lakukan ialah dengan meneliti cara jahitan pada pakaian yang ada. Kemudian ummi cuba cari dalam internet. Terdapat banyak blog yang memaparkan cara-cara memotong dan menjahit baju kurung dan baju melayu. Ucapan terima kasih kerana berkongsi ilmu dengan oranglain. Semoga Allah memberi ganjaran kepada mereka. Dari situ ummi cuba memberanikan diri memotong baju melayu anak lelaki bongsu ummi. Untuk langkah keselamatan, ummi telah membeli kain melebihi apa yang sepatutnya untuk ukuran baju kanak-kanak.

Hasilnya, alhamdulillah beberapa helai pakaian telah berjaya ummi hasilkan. Berikut adalah pakaian-pakaian yang ummi telah siapkan. Baju melayu pertama untuk anakanda bongsu. Rupanya agak teruk terutama di bahagian leher. Ummi mengambil ukuran mengikut baju melayu raya lepas. Alhamdulillah, suami dan anak sulong ummi sepakat mengatakan pakaian ini boleh masuk ke dalam majlis  Ummi perlu banyak berlatih untuk menghasilkan jahitan yang lebih baik. Latihan membuatkan jahitan itu lebih sempurna (Practice makes perfect :kata orang putih)

Ini pulak jubah yang ummi cuba jahit untuk anak perempuan ummi. Baju ini disiapkan tergesa-gesa sehari sebelum raya puasa. Rupanya jahitan agak buruk sedikit tetapi selepas balik dari kampong, ummi buka balik jahitan tersebut dan pulihkan semula agar jahitan menjadi cantik dan kemas. Sebenarnya bukannya nampak pun sebab kat bahagian leher dan dada tetapi supaya sedap mata memandang. Buat sesuatu kerja biarlah sempurna. Ummi juga belajar cara membuat pergelangan tangan bergetah dari blog tinihani.com. 


Sebenarnya sebelum jubah di bawah, ummi sempat jahit sehelai lagi jubah hitam untuk anakanda perempuan sulong ummi. Dia sempat pakai beberapa kali. Ummi tidak sempat mengambil gambar, bila ditanya baru dia perasan yang jubah dia hilang entah ke mana. Memandangkan dia selalu mengikuti kelas tuisyen dan program di sekolah, mungkin tersalah letak. Dia cuba mencari di asrama perempuan tempat dia selalu menumpang tetapi hampa. Mungkin bukan rezeki dia. Wallahua'lam,hanya Allah Yang Mengetahui di sebalik kejadian yang berlaku.

Seterusnya, jubah di bawah ini ummi jahit untuk anak ummi yang kelima kerana terpilih menjadi wakil sekolah untuk pertandingan kuiz antara sekolah-sekolah rendah agama di bawah Yayasan ABIM. Kain tersebut diberikan kepada semua pelajar yang terpilih untuk dipakai semasa majlis perasmian dan penutup. Kalau dulu-dulu, setiap kali anak-anak mewakili sekolah, ummi minta tolong guru-guru yang mengenali tukang jahit untuk menempah pakaian mereka. Tahun ini, ummi berazam untuk menjahit sendiri. Jubah yang agak mudah. Mungkin kat bahagian depan tu agak teruk sedikit tapi sebab bila anakanda pakai tudung, ianya tidak menjadi masalah. Pada bahagian dada tu, ummi sempat jahitkan manik-manik dan labuci bagi nampak fesyen sikit.



Baju kurung di bawah ini merupakan baju kurung pertama yang ummi jahit. Kebetulan kakak ummi(tukang jahit) datang dari kampung. Ummi ambik kesempatan belajar memotong baju yang diwarisi dari bonda ummi. Beberapa petua yang dia bagi tetapi ummi terlupa pulak nak salin. Bagaimanapun, ummi sudah berasa yakin untuk memotong baju kurung untuk anak-anak perempuan yang lain. Pada bahagian tangan baju kurung ni, ummi jahit butang ketap.. Agak rimas apabila memakai baju tetapi terpaksa memakai sarung tangan.




Ini pulak baju kurung kedua untuk anak perempuan kedua. Sudah mampu memotong sendiri. Pada bahagian leher ummi cuba pulak menggunakan lisu bertujuan untuk memudahkan kerja. Rupanya lagi susah daripada menggunakan kain baju kurung. Jahitannya pun kurang cantik tetapi bolehlah dipakai keluar rumah. Kalau untuk mengambil tempahan belum yakin lagi. Maklumlah, kain orang tak sama dengan kain kita sendiri. Kita beli kain yang murah-murah dulu sebab dalam proses belajar.



Ha...Ini projek ummi yang seterusnya. Cadar baru untuk abah. Kain ini sudah lama ummi beli  tetapi projek ini sentiasa tertangguh. Sebenarnya memang nak buat pun tetapi kalau tidak ada tarikh(due date) sesuatu benda tu susah nak disiapkan. Jadinya, sempena kelahiran abah, ummi cuba siapkan sebaik mungkin. Ummi sempat siapkan 1 cadar bujang (fitted), 1 cadar kelamin(King) biasa, 4 helai sarung bantal beropol. Ada banyak lagi lebihan kain tu, mungkin akan disambung lagi untuk menambahkan koleksi cadar bujang dan sarung bantal untuk kecemasan. Mana-mana yang sudah lama dan agak kusam dan berbulu akan diganti, insyaAllah. Anak-anak pun meminta supaya dibuatkan untuk mereka kerana warna kain tersebut biru muda dan tekstur kain lembut. Cadar ini dipasang di katil anakanda perempuan.



Oklah. Nampaknya setakat itulah dulu perkembangan jahitan ummi buat masa ini. InsyaAllah, dalam episod akan datang, ummi akan masukkan gambar-gambar baju-baju dan tudung-tudung yang ummi yang baru ummi  siapkan.