Monday 26 August 2013

DAPUR GAS VS DAPUR ELEKTRIK


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wrh wbt.

Hari ini ummi ingin bercerita tentang kisah dapur gas dan dapur elektrik. Usia dapur gas ummi sudah berusia lebih 2 tahun tetapi apinya biru dan tidak ada masalah. Cuma kawasan sekitarnya sudah terkopak akibat terkena minyak dan air panas. Dapur gas mampu milik sebab harganya boleh didapati dalam berbagai harga. Terpulang kepada kita untuk memilih mengikut citarasa dan kemampuan kita. Memandangkan ia masih mampu berfungsi dengan baik, ummi tetap setia menggunakannya tanpa terdetik hati untuk menggantikan dengan yang baru.

Sehinggalah sebelum ummi balik berhariraya di kampung, ummi mencabut kepala gas. Malangnya bila ummi balik ke rumah semula memasang kepala gas balik, kedengaran bunyi gas keluar, tidak kemas. Kepalanya goyang. Jadi ummi tidak memasang dulu. Petangnya semasa ke kedai, ummi terus membeli kepala gas yang baru. Kepala gas tu ketat tetapi masih ada kedengaran bunyi gas keluar walaupun tidak sekuat sebelum yang lama.

Apabila abah balik, ummi minta dia tengokkan sekali. Keadaannya seperti itu juga. Abah sudah lama bercadang untuk menggantikan dengan yang baru tetapi menangguhkan dulu sementara kami berpindah ke rumah lain. Sekurang-kurangnya  apabila kami pindah, kami boleh menggunakan dapur gas yang baharu. Malangnya keadaan sebaliknya berlaku. Allah telah mengerakkan hati abah untuk menggantikan dengan dapur eletrik (induction cooker). Lagipun susah juga berurusan dengan pak cik gas. Malamnya, kami terus ke pasaraya dan kedai eletrik, mencari induction cooker yang sesuai.



Inilah hasil pencarian kami. Sebelum kami membeli model ini, kami berkenan dengan jenama phillip yang memaparkan banyak gambar tanpa merujuk buku menu, malangnya tiada stok. Kalau berkenan jugak, terpaksa membeli contoh yang dipamerkan. Lalu kami mengintai ke kedai elektrik yang lalu. Hasilnya kami hanya jumpa induction cooker electrolux, model yang ada dan yang disarankan oleh penjual. Butang yang mudah cuma terpaksa merujuk kepada menu sebelum mahir menggunakannya. Didatangkan khas dengan periuknya sekali. Ini percubaan pertama ummi menggoreng ayamas segera dengan rasa berdebar-debar kerana sebelum ini hanya memasak telur rebus atau maggi sahaja. Hanya anak sulong ummi  sahaja yang berani menggunakannya buat masa ini. Yang lain-lain cuma mengintai dari jauh sahaja walaupun biasa menggunakan oven dan microwave.


Satu fungsi untuk suhu kepanasan dan satu fungsi untuk tempoh memasak. Ummi dapati tempoh memasak mengambil masa yang singkat. Kalau menggoreng ayam, goreng pertama dengan kepanasan paling tinggi(9) , tempoh 10 minit,ayam sudah sedia diangkat. Gorengan kedua tidak sampai 10 minit sebab minyak sudah panas. Minyak ayam pun tidak melompat merata kerana semasa menggoreng, disarankan menutup periuk tersebut. Alhamdulillah, dapur pun tidak berminyak seperti dulu-dulu. Bahangnya tidak panas seperti menggunakan dapur gass. Ini hanya untuk sementara waktu sementara kami membeli periuk elektrik untuk menggoreng ayam dan kentang khas yang dinamakan deep fryer. Bagaimanapun disebabkan kita sudah biasa dengan dapur gas, rasa ketidak puasan memasak sebab dapurnya jenis seramik. Tidak seperti dapur gas yang bertungku. Periuk atau kualinya agak mahal sedikit berbanding dengan kuali yang digunakan pada dapur gas kerana tapaknya jenis yang ada lapisan tebal.

Cuti hujung minggu lepas, kami sempat pergi balik ke pasaraya untuk membeli deep fryer untuk jenis gorengan. Ummi cuba  mencari dalam internet tetapi jenama yang kami berkenan cuma ada di situ sahaja selain membeli secara online. Sempat juga membeli kuali sebiji kerana yang ada hanya digandingkan itu sahaja. Inilah rezeki kami memandangkan kami memasak hanya sekali sekala sahaja walaupun anak-anak ramai kerana makanan tengahari disediakan di sekolah.



Gambar ini diambil sebelum kotaknya dibuka sehari dibawa balik. Ummi belum bersedia menggunakannya. Rasa terharu dan rasa bersalah pun ada tetapi apabila abah sudah membelikannya, ummi perlu menghargainya dan menggunakannya sebaik mungkin.  Belum pasti berapa bil elektrik yang perlu kami bayar nanti. Nanti ummi akan update insyaAllah.


Inilah dia kuali dan deep fryer yang belum digunakan lagi. Baru membaca menu bagaimana menggunakannya. Deep fryer tersebut boleh digunakan untuk menggoreng tenggelam, memanas makanan, merebus, membuat sup dan macam- macam mengikut menunya. Cuma bakul tersebut hanya digunakan untuk menggoreng tenggelam. Kira periuk pelbagai kegunaan.



Itulah kisah dapur gas vs dapur elektrik. Syawal 2013 bersamaan dengan bulan kelahiran ummi ke 47, menyaksikan pertukaran dari dapur gas ke dapur elektrik. Bukan untuk menunjuk atau berbangga tetapi untuk pengetahuan anak-anak ummi dan sesiapa yang sudi membacanya. Memandangkan anak-anak ummi masih tertanya-tanya dengan pertukaran tersebut. Kata pepatah : Alah bisa tegal biasa. Walaubagaimana baik pun dapur elektrik, namun apabila kebiasaan kita menggunakan dapur gas menyebabkan kita rasa tidak puas memasak. Abah memberitahu kami semasa dia belajar di US 20 tahun yang lalu, dia sudah menggunakan dapur elektrik. Sememangnya kita pun telah menggunakan sudah sekian lama tetapi setakat periuk nasi, oven dan microwave, cerek elektrik sahaja. Jenis bangsa dapur eletrik yang menggunakan periuk dan kuali tersebut agak janggal bagi kita rakyat malaysia kerana kerana kebiasaannya kita mempunyai keluarga yang besar. Dikhuatiri terpaksa membayar bil elektrik yang banyak. Namun, kalau sudah rezeki ummi, ummi redha dan terima sahaja apa yang diberikan kepada ummi. Allah ilhamkan kepada suami ummi dan DIA tahu apa yang terbaik kepada ummi. Sentiasa bersyukur dan redha dengan ni'mat yang diberikannya. Semoga segala ibadah dan amalan kami diterima Allah swt, ameen.

AKTIVITI LUAR

Percutian di Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.

 Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana masih lagi dipanjangkan usia untuk meneruskan kesinambungan hidup di muka bumiNya ini..Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Setelah sekian lama ummi menyepi diri, bukan kerana sibuk tetap kerana kemalasan yang teramat untuk mencatat setiap perkara yang berlaku. Kebetulan pula, ummi terlupa kata password sebab selalunya anak2 ummi yang ingatkan..Entah angin dari mana datang, dengan kehendakNya jua, tiba-tiba ummi tergerak hati untuk membuka semula blog ummi yang telah lama bersawang..Bila dimasukkan password yang ummi cuba teka, alhamdulillah akhirnya muncul ia. Ummi rasa banyak perkara yang ingin ummi catatkan di sini tetapi ummi akan cuba masukkan sedikit demi sedikit mengikut tahap kerajinan..

Pada cuti pertengahan semester sekolah, keluarga ummi berpeluang bermalam selama dua malam di Amansari Beach Resort, Pantai Sepat. Kebetulan kawan abah datang ke kuantan kerana ada urusan kerja. Memandangkan kawan abah sudah seperti saudara sendiri dan isterinya pun sudah seperti adik kepada ummi kerana kami sentiasa berhubung di mana sahaja mereka berhijrah. Mereka mencari tempat bermalam di kawasan pantai yang ada kolam renang. Malangnya semua tempat sudah penuh, yang tinggal cuma di Pantai Sepat. Tempat tersebut juga lebih dekat dengan urusan kerjanya. Bila mereka sudah check in masuk resort tersebut, didapati banyak kekosongan sebab belum hari minggu. Jadi kami buat keputusan untuk bersama meraikan mereka di sana. Inilah peluang untuk merapatkan ukhuwwah antara kami. Walaupun kami sentiasa berhubung tetapi jurang antara anak-anak masih jauh sebab mereka bukan seperti kanak-kanak di zaman ummi dulu. Anak-anak sekarang lebih senang berkawan melalui alam maya.

Ini pemandangan sekitar tepi Pantai Sepat. Mereka sempat menjengah kawasan tepi pantai sambil mencari batang-batang kayu dan pasir untuk dibuat dijadikan bahan bakar untuk memanggang ayam.

 Chalet inilah tempat penginapan kami. Terdapat 1 katil single dan katil kelamin. Disediakan juga 2 buah tilam,bantal dan selimut untuk 6 orang penghuni. Terdapat penghawa dingin dan televisyen disediakan.

Gambar di atas merupakan kawasan depan chalet tersebut. Anak-anak mula serasi bermain bersama mencari binatang yang biasa didapati di dalam pasir.




Ummi sempat beli alat pemanggang dan ayam 3 ekor untuk dibakar di sana. Ummi membawa 5 orang anak bersama- sama ummi. Abah datang selepas waktu kerja. Anak sulong ummi tidak datang sekali kerana ada urusan sekolah yang belum selesai. Begitu juga dengan anak sulongnya sedang melanjutkan pelajaran di Ipt. Pertama kali bermalam di chalet seperti rumah. Bakar ayam bersama-sama, berjalan-jalan di tepi pantai, mandi di kolam renang.








Sempatlah anak2 kami mandi di kolam renang tanpa gangguan sebab waktu tersebut belum ramai yang datang. Malangnya hari terakhir kami di sana, makin ramai yang datang mandi di kolam. Rasa tidak selesa mandi bila yang datang mandi, berpakaian tidak menutup aurat. Anak-anak menarik diri untuk balik ke bilik, bersiap-siap untuk check out dari resort tersebut.

Sebelum balik, saudara angkat isteri kawan abah datang bawakan makanan pagi untuk kami. Mana-mana yang tidak sempat dihabiskan, kami berpakat bawa balik.  Kemudian, kami kemaskan barang-barang dan dimasukkan ke dalam kereta. Check out dan bertolak balik, membawa haluan masing-masing. Kenangan bersama selama 2 hari selepas hampir 3 tahun kami tidak berjumpa. Hanya berhubung melalui alam maya. 3 tahun sekejap sahaja masa berlalu. Bila berjumpa kembali, anak-anak sudah remaja dan menginjak ke pusat pengajian tinggi. Hanya masa yang akan mempertemukan kami semula. Semoga ukhuwwah kerana Allah akan terus berkekalan, Ameen.

Tuesday 23 July 2013

TINGGAL KENANGAN

Assalamualaikum

Hari ini ummi tergerak hati untuk mengimbas kembali kenangan tempat ummi dilahirkan dan dibesarkan untuk tatapan anak-anak ummi. Biar pun anak-anak ummi sempat melihat dan tinggal di rumah itu bila kita balik menziarahi ibubapa ummi namun kini rumah itu sudah tidak berpenghuni.





Ayah ummi sudah dijemput oleh penciptaNYa manakala mak ummi sudah tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri. Kini mak ummi tinggal dan dijaga oleh kakak ummi yang kedua. Semoga Allah mengampuni kedua ibubapa ummi sebagaimana mereka mendidik ummi dari ummi kecil lagi. Moga Allah bagi ganjaran pahala buat kakak ummi yang bersusah payah menjaga mak ummi walaupun dia sendiri mengidap penyakit athritis..Semoga dengan bantuan pembantu rumah dan bantuan dari adik beradik dapat meringankan urusan menguruskan mak ummi.

Hanya kami yang selalu balik ke rumah tersebut bila balik beraya di kampung. Kalau balik sehari dua tak berbaloi rasanya nak cuci rumah tersebut. Maklum sajalah rumah yang sudah lama tidak berpenghuni. Pernah kami balik bermalam di rumah tersebut, bila berjalan tengok tapak kaki, boleh tergelak sebab hitam dan berhabuk. Sedangkan sebelum kami balik,rumah tersebut sudah dibersihkan oleh kakak sulong ummi. Kami tumpang bermalam di rumah adik atau kakak ummi sahaja. Kalau agak lama, barulah kami  bermalam di situ. Rasa tidak lengkap kalau balik kampung tetapi tidak bermalam di rumah tersebut.


Inilah keadaan di dalam rumah ummi dilahirkan dan dibesarkan. Tempat berteduh dari hujan dan panas yang telah membesarkan kami 11 orang adik beradik. Gambar tersebut diambil sebelum kami bertolak balik. Semua permaidani digulung kerana memastikan habuk dan tempias hujan tidak merosakkannya.

Tahun lepas 2012 semasa hari raya puasa, kami balik bermalam di sana. Begitu juga apabila raya haji, kebetulan kakak kedua yang menjaga mak ummi dijemput sekali lagi ke rumah Allah. Tiba giliran kakak sulong ummi menjaganya. Memandang jarak dari rumahnya jauh, dia membawa mak ummi balik ke kampung kerana jarak rumahnya lebih dekat dari rumahnya. Tujuannya bila raya haji, kami adik beradik dapat balik ke kampung dan bermalam di sana. Meriahlah rumah tersebut setelah beberapa lama rumah tersebut ditinggalkan. Rumah yang setahun atau dua tahun sekali dibuka oleh kami. Sebaik kakak ummi pulang dari mekah, mak ummi dibawa pulang semula ke rumahnya. Tertutuplah rumah tersebut kembali.




Inilah rumah yang diamanahkan oleh ayanda ummi untuk ummi menjaganya. Buat masa ini, rumah ini disewa oleh saudara sebelah abang ipar ummi. Kakak sulong ummi yang tinggal dikampung tersebut menguruskan rumah ummi dan rumah bonda kami yang bersebelahan.

Tahun 2013, kami beraya di Kuantan. Abah membuat keputusan untuk beraya di sini kerana mengubah tradisi yang biasa dilakukan setiap tahun. Kami cuma balik dihujung cuti sekolah menziarahi bonda dan berjumpa mana-mana yang sempat diziarahi. Kami cuma bermalam satu malam di rumah kakak ummi ke empat. Rumah kelahiran ummi tidak sempat dibuka tahun ini. Hanya tinggal kenangan. Tiada yang kekal di dunia ini. Kehidupan yang abadi di alam akhirat nanti.