Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum wrh wbt.
Hari ini ummi ingin bercerita tentang kisah dapur gas dan dapur elektrik. Usia dapur gas ummi sudah berusia lebih 2 tahun tetapi apinya biru dan tidak ada masalah. Cuma kawasan sekitarnya sudah terkopak akibat terkena minyak dan air panas. Dapur gas mampu milik sebab harganya boleh didapati dalam berbagai harga. Terpulang kepada kita untuk memilih mengikut citarasa dan kemampuan kita. Memandangkan ia masih mampu berfungsi dengan baik, ummi tetap setia menggunakannya tanpa terdetik hati untuk menggantikan dengan yang baru.
Sehinggalah sebelum ummi balik berhariraya di kampung, ummi mencabut kepala gas. Malangnya bila ummi balik ke rumah semula memasang kepala gas balik, kedengaran bunyi gas keluar, tidak kemas. Kepalanya goyang. Jadi ummi tidak memasang dulu. Petangnya semasa ke kedai, ummi terus membeli kepala gas yang baru. Kepala gas tu ketat tetapi masih ada kedengaran bunyi gas keluar walaupun tidak sekuat sebelum yang lama.
Apabila abah balik, ummi minta dia tengokkan sekali. Keadaannya seperti itu juga. Abah sudah lama bercadang untuk menggantikan dengan yang baru tetapi menangguhkan dulu sementara kami berpindah ke rumah lain. Sekurang-kurangnya apabila kami pindah, kami boleh menggunakan dapur gas yang baharu. Malangnya keadaan sebaliknya berlaku. Allah telah mengerakkan hati abah untuk menggantikan dengan dapur eletrik (induction cooker). Lagipun susah juga berurusan dengan pak cik gas. Malamnya, kami terus ke pasaraya dan kedai eletrik, mencari induction cooker yang sesuai.
Inilah hasil pencarian kami. Sebelum kami membeli model ini, kami berkenan dengan jenama phillip yang memaparkan banyak gambar tanpa merujuk buku menu, malangnya tiada stok. Kalau berkenan jugak, terpaksa membeli contoh yang dipamerkan. Lalu kami mengintai ke kedai elektrik yang lalu. Hasilnya kami hanya jumpa induction cooker electrolux, model yang ada dan yang disarankan oleh penjual. Butang yang mudah cuma terpaksa merujuk kepada menu sebelum mahir menggunakannya. Didatangkan khas dengan periuknya sekali. Ini percubaan pertama ummi menggoreng ayamas segera dengan rasa berdebar-debar kerana sebelum ini hanya memasak telur rebus atau maggi sahaja. Hanya anak sulong ummi sahaja yang berani menggunakannya buat masa ini. Yang lain-lain cuma mengintai dari jauh sahaja walaupun biasa menggunakan oven dan microwave.
Satu fungsi untuk suhu kepanasan dan satu fungsi untuk tempoh memasak. Ummi dapati tempoh memasak mengambil masa yang singkat. Kalau menggoreng ayam, goreng pertama dengan kepanasan paling tinggi(9) , tempoh 10 minit,ayam sudah sedia diangkat. Gorengan kedua tidak sampai 10 minit sebab minyak sudah panas. Minyak ayam pun tidak melompat merata kerana semasa menggoreng, disarankan menutup periuk tersebut. Alhamdulillah, dapur pun tidak berminyak seperti dulu-dulu. Bahangnya tidak panas seperti menggunakan dapur gass. Ini hanya untuk sementara waktu sementara kami membeli periuk elektrik untuk menggoreng ayam dan kentang khas yang dinamakan deep fryer. Bagaimanapun disebabkan kita sudah biasa dengan dapur gas, rasa ketidak puasan memasak sebab dapurnya jenis seramik. Tidak seperti dapur gas yang bertungku. Periuk atau kualinya agak mahal sedikit berbanding dengan kuali yang digunakan pada dapur gas kerana tapaknya jenis yang ada lapisan tebal.
Cuti hujung minggu lepas, kami sempat pergi balik ke pasaraya untuk membeli deep fryer untuk jenis gorengan. Ummi cuba mencari dalam internet tetapi jenama yang kami berkenan cuma ada di situ sahaja selain membeli secara online. Sempat juga membeli kuali sebiji kerana yang ada hanya digandingkan itu sahaja. Inilah rezeki kami memandangkan kami memasak hanya sekali sekala sahaja walaupun anak-anak ramai kerana makanan tengahari disediakan di sekolah.
Gambar ini diambil sebelum kotaknya dibuka sehari dibawa balik. Ummi belum bersedia menggunakannya. Rasa terharu dan rasa bersalah pun ada tetapi apabila abah sudah membelikannya, ummi perlu menghargainya dan menggunakannya sebaik mungkin. Belum pasti berapa bil elektrik yang perlu kami bayar nanti. Nanti ummi akan update insyaAllah.
Inilah dia kuali dan deep fryer yang belum digunakan lagi. Baru membaca menu bagaimana menggunakannya. Deep fryer tersebut boleh digunakan untuk menggoreng tenggelam, memanas makanan, merebus, membuat sup dan macam- macam mengikut menunya. Cuma bakul tersebut hanya digunakan untuk menggoreng tenggelam. Kira periuk pelbagai kegunaan.
Itulah kisah dapur gas vs dapur elektrik. Syawal 2013 bersamaan dengan bulan kelahiran ummi ke 47, menyaksikan pertukaran dari dapur gas ke dapur elektrik. Bukan untuk menunjuk atau berbangga tetapi untuk pengetahuan anak-anak ummi dan sesiapa yang sudi membacanya. Memandangkan anak-anak ummi masih tertanya-tanya dengan pertukaran tersebut. Kata pepatah : Alah bisa tegal biasa. Walaubagaimana baik pun dapur elektrik, namun apabila kebiasaan kita menggunakan dapur gas menyebabkan kita rasa tidak puas memasak. Abah memberitahu kami semasa dia belajar di US 20 tahun yang lalu, dia sudah menggunakan dapur elektrik. Sememangnya kita pun telah menggunakan sudah sekian lama tetapi setakat periuk nasi, oven dan microwave, cerek elektrik sahaja. Jenis bangsa dapur eletrik yang menggunakan periuk dan kuali tersebut agak janggal bagi kita rakyat malaysia kerana kerana kebiasaannya kita mempunyai keluarga yang besar. Dikhuatiri terpaksa membayar bil elektrik yang banyak. Namun, kalau sudah rezeki ummi, ummi redha dan terima sahaja apa yang diberikan kepada ummi. Allah ilhamkan kepada suami ummi dan DIA tahu apa yang terbaik kepada ummi. Sentiasa bersyukur dan redha dengan ni'mat yang diberikannya. Semoga segala ibadah dan amalan kami diterima Allah swt, ameen.