Thursday 5 December 2019

DAPUR ELEKTRIK : INDUCTION COOKER SIRI 3

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI.
SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN RASULULLAH SAW DAN AHLI KELUARGANYA .

ASSALAMUALAIKUM WAROHMATULLAHI WABARAKATUH.

Alhamdulillah dengan izinNya jua ummi dapat menukilkan coretan di laman blog ini berdasarkan perjalanan dan pengalaman hidup sehingga mencapai usia warga emas sekarang ini.

Ummi terpanggil untuk menyambung siri ke 3 ini kerana ramai berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan dapur ini.  Banyak soalan dan pertanyaan diutarakan di ruangan dapur letrik yang pernah ummi poskan dulu.

Kini ummi sudah menggunakan dapur ini selama lebih 7 tahun. Dulu hanya dapur eletrik jenis induksi sahaja wujud tetapi kini ada pelbagai jenis dapur eletrik yang kaedah pemanasannya berbeza. Jika dapur induksi perlu menggunakan periuk atau kuali yang sesuai untuknya namun dapur letrik lain boleh disesuaikan dengan mana-mana periuk. Bagaimanapun, di sini ummi hanya fokus kepada jenis dapur induksi berdasarkan pengalaman yang ada.

Waktu dulu tidak banyak dapur induksi dipasarkan. Dapur pertama yang digunakan jenama electrolux yang disertakan dengan periuk sekali. Walaupun ia agak mahal sedikit namun jangka hayatnya agak lama dan ummi berpuashati memasak menggunakan dapur tersebut. Wayarnya jugak lebih panjang .Kepanasannya boleh disesuaikan dan masa memasak boleh ditetapkan. Dapur yang paling mudah digunakan. Mulanya macam oranglain jugak. Was was sebab tidak biasa menggunakannya. Bila sudah lama, tiada bezanya memasak dan tiada apa yang perlu dirisaukan bila gas akan habis. Cuma kekadang tu ada jugak waktu letrik terputus tetapi jarang sangat. Setelah beberapa tahun menggunakannya, akhirnya kami membuat keputusan menggantikan dengan dapur lain. Bukan kerana ia rosak tetapi disebabkan tepi keliling dapur tersebut menunjukkan tanda retak dan merekah.

Setelah dibuat pemerhatian, akhirnya ummi memilih dapur satu tungku jenama philips yang disertakan dengan periuk sekali. Agak terkilan, periuknya lebih kecil, lebih nipis dan cepat hangus bila memasak, Walaupun anak 6, namun dapur satu tungku sahaja pilihan ummi. Ianya lebih murah dan jimat ruang memasak di dapur.  Pelbagai pilihan jenama yang ada dijual di atas talian sekarang ini. Waktu dulu agak sukar mencari periuk yang sesuai dengan dapur induksi ini. Periuk yang ada di rumah semuanya tidak boleh digunakan. Akhirnya, ummi berjaya mendapatkannya di menang glassware. Sampai kini, set periuk tersebut berkhidmat dengan kami. Kini, bermacam-macam periuk dan kuali boleh di dapati dengan berbagai pilihan harga. Cuma kena betul-betul pastikan ianya sesuai dengan dapur induksi ini.

Alhamdulillah ummi berpuas hati dengan dapur induksi ini, Selain daripada masalah kehabisan gas, ianya tidak menyebabkan bil eletrik melambung tinggi sekiranya kita memasak untuk keluarga. Berada di dapur pun tidak terasa haba panas kerana dapur ini hanya memanaskan periuk sahaja. Kalau hendak memasak rendang atau hidangan yang lama, bolehlah menggunakan periuk tekanan tinggi (pressure cooker). Sekarang harganya lebih murah berbanding dulu. Berbaloi membelinya. Alah membeli menang memakai. 

Setakat inilah dulu coretan pengalaman ummi menggunakan dapur induksi. Semoga memberi pencerahan kepada sesiapa yang berminat untuk menggunakan dapur induksi ini.