Tuesday 23 July 2013

TINGGAL KENANGAN

Assalamualaikum

Hari ini ummi tergerak hati untuk mengimbas kembali kenangan tempat ummi dilahirkan dan dibesarkan untuk tatapan anak-anak ummi. Biar pun anak-anak ummi sempat melihat dan tinggal di rumah itu bila kita balik menziarahi ibubapa ummi namun kini rumah itu sudah tidak berpenghuni.





Ayah ummi sudah dijemput oleh penciptaNYa manakala mak ummi sudah tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri. Kini mak ummi tinggal dan dijaga oleh kakak ummi yang kedua. Semoga Allah mengampuni kedua ibubapa ummi sebagaimana mereka mendidik ummi dari ummi kecil lagi. Moga Allah bagi ganjaran pahala buat kakak ummi yang bersusah payah menjaga mak ummi walaupun dia sendiri mengidap penyakit athritis..Semoga dengan bantuan pembantu rumah dan bantuan dari adik beradik dapat meringankan urusan menguruskan mak ummi.

Hanya kami yang selalu balik ke rumah tersebut bila balik beraya di kampung. Kalau balik sehari dua tak berbaloi rasanya nak cuci rumah tersebut. Maklum sajalah rumah yang sudah lama tidak berpenghuni. Pernah kami balik bermalam di rumah tersebut, bila berjalan tengok tapak kaki, boleh tergelak sebab hitam dan berhabuk. Sedangkan sebelum kami balik,rumah tersebut sudah dibersihkan oleh kakak sulong ummi. Kami tumpang bermalam di rumah adik atau kakak ummi sahaja. Kalau agak lama, barulah kami  bermalam di situ. Rasa tidak lengkap kalau balik kampung tetapi tidak bermalam di rumah tersebut.


Inilah keadaan di dalam rumah ummi dilahirkan dan dibesarkan. Tempat berteduh dari hujan dan panas yang telah membesarkan kami 11 orang adik beradik. Gambar tersebut diambil sebelum kami bertolak balik. Semua permaidani digulung kerana memastikan habuk dan tempias hujan tidak merosakkannya.

Tahun lepas 2012 semasa hari raya puasa, kami balik bermalam di sana. Begitu juga apabila raya haji, kebetulan kakak kedua yang menjaga mak ummi dijemput sekali lagi ke rumah Allah. Tiba giliran kakak sulong ummi menjaganya. Memandang jarak dari rumahnya jauh, dia membawa mak ummi balik ke kampung kerana jarak rumahnya lebih dekat dari rumahnya. Tujuannya bila raya haji, kami adik beradik dapat balik ke kampung dan bermalam di sana. Meriahlah rumah tersebut setelah beberapa lama rumah tersebut ditinggalkan. Rumah yang setahun atau dua tahun sekali dibuka oleh kami. Sebaik kakak ummi pulang dari mekah, mak ummi dibawa pulang semula ke rumahnya. Tertutuplah rumah tersebut kembali.




Inilah rumah yang diamanahkan oleh ayanda ummi untuk ummi menjaganya. Buat masa ini, rumah ini disewa oleh saudara sebelah abang ipar ummi. Kakak sulong ummi yang tinggal dikampung tersebut menguruskan rumah ummi dan rumah bonda kami yang bersebelahan.

Tahun 2013, kami beraya di Kuantan. Abah membuat keputusan untuk beraya di sini kerana mengubah tradisi yang biasa dilakukan setiap tahun. Kami cuma balik dihujung cuti sekolah menziarahi bonda dan berjumpa mana-mana yang sempat diziarahi. Kami cuma bermalam satu malam di rumah kakak ummi ke empat. Rumah kelahiran ummi tidak sempat dibuka tahun ini. Hanya tinggal kenangan. Tiada yang kekal di dunia ini. Kehidupan yang abadi di alam akhirat nanti.