Wednesday, 16 November 2016

Dapur Elektrik bahagian 2.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kerana masih diberi peluang untuk bernafas dan berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman hidup selama separuh abad kini.

Dari ruangan dapur elektrik yang lepas, ummi hanya bercerita tentang pengalaman baru ummi menggunakan dapur elektrik. Hari ini ummi akan berkongsi pengalaman selepas beberapa tahun ummi menggunakan dapur tersebut.

Untuk pengetahuan, ummi hanya menggunakan dapur elektrik tungku satu sahaja. Dapur tersebut digunakan untuk memasak lauk berkuah dan menggoreng nasi, sayur dan ikan sahaja. Ummi menggunakan periuk elektrik deep fryer untuk menggoreng ayam kerana lebih cepat dan minyak tidak merebak merata dapur. Periuk tefal untuk deep fryer disertakan gambar pada ruangan dapur elektrik. Memang berbaloi kalau memasak serentak. Kerja lebih cepat. Untuk deep fryer, kita perlu menggunakan minyak yang banyak tetapi berbaloi sebab boleh menggoreng beberapa kali. Cuma kena pastikan periuk tersebut tidak mempunyai banyak keladak sisa2-sisa ayam. Pandai2 bahagi masa untuk mencuci periuk tersebut. Periuk tefal ini bukan sahaja untuk menggoreng tenggelam tapi boleh juga digunakan untuk beberapa fungsi. Cuma ummi hanya khususkan untuk menggoreng ayam. Kalau terdesak, boleh juga digunakan untuk merebus, menumis, memanas makanan dan lain2.





Periuk ini boleh disetkan masa memasak. Masa ditunjukkan pada pemegang tutup periuk.  Ayam lebih cepat masak berbanding dengan periuk biasa. Minyak tidak merebak merata dapur. Jelaga dari asap api memasak pun tidak ada lagi berbanding menggunakan dapur gas.

Setelah beberapa tahun menggunakan periuk di atas dan dapur elektrik, bil elektrik tidak begitu meningkat. Disebabkan  waktu memasak lebih singkat, jadi kita tidak menggunakan tenaga elektrik lebih lama. Masa mengemas dapur pun lebih singkat kerana kurang berminyak. Ruang dapur pun tidak panas berbanding dapur gas. Anak-anak suka masuk ke dapur kerana sebelum ini mereka takut untuk menggunakan dapur gas. Ummi pun tidak begitu susah hati jika sekiranya bekalan tong gas habis semasa sedang memasak. Walaupun rumah ummi selang satu rumah dengan agen tong gas, namun sukar untuk mendapatkannya dalam waktu-waktu kritikal. Maklumlah, dia diperlukan oleh setiap pengguna  gas atau restoran. Kadangkala bekalan habis waktu pagi, petang baru boleh sampai. Ummi tidak suka menyimpan stok tong gas kerana tidak ada ruang yang sesuai.

Walaupun begitu, di sebalik kebaikannya ada keburukannya. Dapur elektrik ini tungku rata kerana dia menggunakan eletrik di dalam kawasan bulatan. Sekiranya kita hendak menggoreng nasi dengan banyak, memang agak sukar sedikit. Periuk atau tapak flat menyebabkan dia licin berbanding dengan tungku dapur gas. 

Pengalaman ummi menggoreng keropok kembang menggunakan dapur di atas agak mengecewakan. Memandangkan dapur tersebut mempunyai kepanasan tertentu, dia akan menjadi perlahan dengan sendiri. Keropok tidak dapat mengembang dengan baik. Jadi ummi membuat keputusan untuk menggunakan dapur gas satu tungku (portable) untuk menggoreng keropok dan menggunakan kuali yang tidak sesuai untuk dapur elektrik. Manfaatkan periuk-periuk yang ada. Dapur gas ini menggunakan tiub gas yang kecil sebesar tong penyembur ubat nyamuk sahaja. Lebih jimat ruang untuk penyimpanan. Ia juga boleh digunakan di saat bekalan elektrik terputus. Dapur tersebut boleh juga digunakan untuk aktiviti luar dan perkhemahan anak-anak di sekolah kerana sudah disediakan beg khas.

Kebelakangan ini berbagai-bagai peralatan elektrik di dapur yang lebih memudahkan urusan memasak di dapur. Kita boleh memilih untuk membakar, memanas, mengukus dan lain-lain. Terpulang kepada kewangan masing-masing. 

Semoga pengalaman ini dapat dikongsikan dan memberi manfaat kepada sesiapa yang berminat untuk menggunakan dapur elektrik (induction cooker). 

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment